Keyboard Online

Latest News Onlines Update & Sharing

Qu Puteh: Datuk Vida jawab tohmahan berhubung AJL29

Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Dr Hasmiza Othman atau Datuk Vida mempersoalkan sikap segelintir pihak yang menyelarnya, gara-gara tajaan Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) yang berlangsung Ahad lalu.

Menurutnya, sebagai penaja yang telah melabur wang sejumlah RM3 juta untuk program itu, beliau berhak mempromosikan produknya, setelah mendapat persetujuan daripada TV3.

“Sebagai seorang ahli perniagaan, sudah tentu saya mahu produk saya menonjol. Apa guna kalau saya laburkan wang berjuta-juta, tetapi hasilnya tiada.

“Sebab itulah saya mahu produk saya dipromosikan dengan cara saya dalam anugerah berprestij itu. Kalau tak dapat apa-apa impak, tak ada maknalah iklankan produk,” katanya yang dipetik daripada laporan mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan dan tohmahan orang ramai menerusi laman sosial yang kurang senang dengan iklan produk Pamoga dan Qu Puteh yang dianggap berlebihan.


Kritikan terhadapnya turut diluahkan Datuk Chef Wan dalam Instagram yang menceritakan beliau terpaksa beralih ke ruang tamu, sebaik sahaja iklan Qu Puteh disiarkan, ketika menonton siaran langsung pertandingan lagu itu.

Chef Wan turut memuat naik gambarnya memakai bedak putih sambil menikmati mi segera, berserta keterangan gambar yang mengkritik iklan berkenaan.
Selain siaran langsung AJL29, Datuk Vida turut menaja pertandingan Gegar Vaganza yang disiarkan Astro Ria, pada 4 Januari lalu.

Kata Datuk Vida, 44, sejumlah wang telah dikeluarkan untuk TV3, termasuklah membeli iklan menerusi rancangan Wanita Hari Ini (WHI).
Ujarnya, tidak semua usahawan kecil dan sederhana (SME) sepertinya yang berani mengeluarkan wang untuk mempromosikan produk masing-masing, apatah lagi jika melibatkan jutaan ringgit.

Oleh itu ujarnya, selepas rancangan tersebut, beliau harus melihat kesan terhadap promosi yang dijalankan, sama ada ia berjaya atau tidak.

“Alhamdulillah, selepas AJL29, jualan produk saya menunjukkan peningkatan dan saya perlu merancang perkara lain pula tahun ini. Perlu diingatkan, produk saya untuk orang kampung dan cara promosinya haruslah sesuai untuk golongan itu,” katanya.

Tambah Datuk Vida, dengan pelaburan sebanyak RM3 juta itu, beliau berjaya mendapat peluang mempromosikan produknya, tanpa berkongsi dengan mana-mana produk lain dalam AJL29 itu.

Sumber
0 Komentar untuk "Qu Puteh: Datuk Vida jawab tohmahan berhubung AJL29"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info